AKTIVITI PSSGM PPP/ITM SESI 1998/1999

1. GAYONG NIGHT

Bertempat di Kolej Siswi Seksyen 18, saya demonstrasi silat telah diadakan bagi memperkenalkan seni warisan Melayu, Silat Seni Gayong Malaysia kepada para penuntut PPP/ITM. Majlis menyaksikan aksi mengagumkan daripada para ahli PSSGM PPP/ITM. Jemputan daipada gelanggang lain seperti Gelanggang ITM Induk Shah Alam turut dijemput untuk memeriahkan majlis. Tahniah buat semua atas usaha kalian untuk menjayakan majlis yang serba meriah ini. WELL DONE GUYS!!!

2. INDUCTION DAYS

Pada 26-27 September 1998 yang lalu, pihak persatuan telah berjaya menganjurkan Induction Days di Taman Camar Rimba, Bukit Cahaya Sri Alam, Selangor. Meskipun sedang sibuk untuk menghadapi peperiksaan yang akan muncul tidak lama lagi, namun dengan semangat yang berkobar-kobar seramai kira-kira tiga puluh orang ahli telah turut serta memeriahkan aktiviti ini.Aktiviti ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan tentang Silat Seni Gayong Malaysia kepada ahli baru di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli baru dan lama. Projek ini telah dipengerusikan oleh saudari Ewa.

Komen ahli, aktiviti ini telah mencapai objektifnya dan patut di teruskan.

betapa bahagianya kami!

klik! bergambar selepas tamat aktiviti.

3. JEMPUTAN PERSEMBAHAN MPP PPP/ITM 1999

Sempena sambutan majlis Hari Raya bagi Majlis Perwakilan Pelajar PPP / ITM, pihak MPP telah menjemput PSSGM PPP/ITM untuk mengadakan demonstrasi silat bagi memeriahkan majlis. Meskipun hanya dimaklumkan lewat untuk mengadakan persembahan, namun pihak PSSGM mampu untuk mengadakan satu persembahan yang memuaskan, meskipun ada sedikit kekurangan yang tidak disengajakan. Namun syabas buat semua ahli yang telah bersatu hati untuk menjayakan persembahan ini!

4. MAJLIS PERKAHWINAN ANAK CIKGU SELAMAT

Pada 28 Februari yang lalu, Cikgu Selamat telah mengadakan kenduri kahwin buat anak sulungnya di rumah beliau, di Kampung Padang Jawa. Pihak persatuan telah turut serta memeriahkan majlis yang sungguh meriah pada ketika itu. Sabri dan Farid selaku wakil dari PSSGM PPP/ITM telah turut serta membuat persembahan tempur pentas tangan kosong di hadapan pengantin. Manakala teman-teman yang lain membantu memastikan majlis berjalan lancar. Hairy, ahli dari UNITEL turut membantu memeriahkan majlis. Harapan kami semoga pasangan pengantin akan hidup bahagia sehingga ke anak cucu! Tunggulah setahun dua lagi, nanti Cikgu Selamat akan bergelar datuk!

5. UJIAN KENAIKAN BENGKUNG

Pada 21hb. mac yang lalu ujian kenaikan bengkung telah diadakan di PPP/ITM. Di samping itu, majlis mandi tapak dan mandi seni juga telah dijalankan. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Cikgu Razali, Cikgu Azhar, Cikgu Hamzah dan Cikgu Selamat sendiri. Adat mandi bertapak dan seni ini dijalankan dengan penuh adat istiadat. Majlis bertapak telah dijalankan oleh Cikgu Selamat dengan bimbingan daripada Cikgu razali kerana inilah pertama kali beliau melakukan istiadat tersebut setelah diberi mandat oleh Majlis tertinggi Gayong Malaysia. Selepas adat tersebut dijalankan ujian kenaikan bengkung telah diadakan. Keputusannya semua telah lulus.

 

6. PERKHEMAHAN TAHUNAN 1998/99 : SUNGAI CONGKAK, SELANGOR

Pada 30 APRIL hingga 2 MEI 1999, persatuan telah mengadakan perkhemahan tahunan yang bertempat di Zon 7, Pusat Rekreasi Sungai Congkak,Selangor. Sambutan penyertaan daripada ahli adalah sangat memuaskan. Untuk makluman semua, beberapa ahli lama turut menyertai dan memeriahkan perkhemahan kali ini. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah latihan intensif silat, permainan sukaneka, latihan ala-komando dan 'war game'. Sejuta penghargaan buat semua yang menjayakan perkhemahan ini. Detik yang paling menarik ialah dalam permainan sukaneka; permainan harimau dan kambing. Pelbagai aksi lucu, hebat dan mengancam telah disaksikan oleh para ahli, terutamanya dalam pertarungan MAUT antara kambing bernama ZAM dan harimau bernama SHAH. Namun disebalik suasana ceria sepanjang masa perkhemahan, kami telah menerima ujian getir apabila HUJAN LEBAT melimpahi kami, namun sedikit sebanyak dugaan tersebut dapat kami atasi dengan bantuan mereka yang cergas dan tangkas. Komen ahli diharap aktiviti ini akan terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang.